Kahwin
"Hai tak tidur-tidur lagi?"
Terkejut, Munirah berpaling.
"Mama ni, buat terkejut orang aje. Tak boleh nak lenalah mama. Banyak hal yang belum selesai".
"Ala…  Bukan nak kenduri esok. Dua bulan lagi. Tidurlah. Esok nak kerja. Nanti  lena pulak depan pelajar", nasihat ibunya dengan lembut.
"Oklah. Mama tidur dulu. Sekejap lagi Irah tidur".
Rahimah berlalu meninggalkan Munirah terkebil-kebil menatap potpuri yang masih di tangannya.  Walaupun masih ada masa dua bulan untuk menyempurnakan persiapan  perkahwinannya, namun Munirah cukup cemas. Dia tidak mahu kendurinya  nanti ada sebarang kekurangan atau cacat cela yang bakal mengundang  umpat keji saudara mara. Dia perlu menjaga statusnya sebagai seorang  pensyarah.
Munirah  terkenangkan bakal tunangnya, Razak yang kini sedang berkursus di  Selatan tanahair. Dia telah menjalinkan hubungan dengan Razak sejak di  tahun pertama waktu sama-sama menuntut di sebuah universiti yang sama.  Hanya setelah masing-masing tamat pengajian dan memulakan karier,  barulah mereka mengambil kata sepakat untuk mendirikan rumahtangga.  Setelah bertahun-tahun berhubungan, Munirah yakin dia telah cukup  mengenali hati budi Razak. Baginya Razaklah lelaki yang sesuai dijadikan  suami kerana sikapnya yang sangat bertanggungjawab dan penyayang.  Munirah membayangkan hari-hari depan yang indah setelah diijabkabulkan  nanti.
Munirah  dan Razak bercadang untuk berbulan madu di Bali. Mereka juga telah  membeli sebuah rumah sebagai persediaan untuk hidup bersama sebaik  sahaja mengikat tali pertunangan. Masing-masing bersetuju untuk menimang  4 orang cahayamata sahaja. Takut kalau ramai sangat anak, tidak mampu  pula untuk biayai pelajaran mereka. Maklumlah era siber ni, semuanya  memerlukan duit. Itulah perancangan akal cetek mereka. Terlupa bahawa  perancangan Tuhan mengatasi perancangan manusia.
Sejak bertunang setahun yang lalu,  Munirah mula membuat persiapan perkahwinan secara berdikit-dikit.  Hampir setiap hari dia membelek majalah yang memaparkan pakaian  pengantin, gubahan hantaran, contoh rekaan pelamin serta serba mak nenek  yang berkait dengan kenduri kahwin mengikut trend semasa. Melalui  temannya yang bercuti ke luar negara, dia mengirimkan beberapa barangan  berjenama untuk dijadikan hantaran. Setiap hujung minggu pula dia  menjelajah dari satu butik ke satu butik untuk mencari pakaian yang  sesuai untuk majlis berkenaan.
"Ala,  sekali seumur hidup. Lagipun kan Irah anak bongsu mama. Lepas ni dah  tak payah buat kenduri kahwin lagi. Apa salahnya berhabis-habisan untuk  kenduri Irah ni", jawab Munirah bila ditegur ibunya.
Janganlah  bayangkan kahwin tu pada yang indah-indah dan romantik saja. Nanti akan  ada ujiannya, akan ada pahit yang terpaksa ditelan.
Rahmah bukan tidak bersetuju  dengan perancangan Munirah untuk mengadakan kenduri besar-besaran.  Memang dia berkemampuan pun. Cuma hatinya masih sedih mengenangkan  perkahwinan kakak Munirah, Salasiah 5 tahun yang lalu. Waktu itu  kendurinya memang besar. Jadi sebutan orang. Bagaimanapun, rumahtangga  yang dibina hanya bertahan selama dua tahun. Selepas mendapat anak  seorang, mereka bercerai dan masing-masing membawa haluan sendiri.
Kini dialah yang membela anak mereka. Bukan dia keberatan untuk membela  cucu sulungnya itu, Cuma hatinya pedih bila mengenangkan nasib budak itu  yang kehilangan kasih ibu bapa. Manakala ibu dan bapanya ingin hidup  bebas dan enjoy-enjoy macam orang bujang. Kerana itulah bila  mengingatkan perkahwinan Munirah, dia mendoakan agar Munirah tidak  menerima nasib yang sama.
Rahimah  menganggap apa yang berlaku kepada Salasiah adalah kerana kesalahannya  juga. Memang Rahimah pening kepala memikirkan anak-anak perempuannya  yang enggan memberi sepenuh komitmen pada rumahtangga. Masing-masing  hendak jadi macam orang Barat yang mahu berumahtangga tetapi tidak mahu  memikul amanah dan tanggungjawabnya. Tidak seperti orang dulu-dulu.
Rahimah  terkenang, dia dulu kahwin atas pilihan orang tua. Bila bergelar  isteri, seluruh hidupnya diabadikan untuk suami dan keluarga. Orang  dulu-dulu jarang nak bercerai-berai. Orang sekarang, bercinta  bertahun-tahun tetapi bila kahwin, sekejap sahaja sudah bercerai. Tak  serasilah, sudah tidak sehaluanlah. Padahal masa hendak kahwin,  masing-masing rasakan itulah pasangan paling tepat untuk dunia Akhirat.
Mungkin salah Rahimah juga  kerana gagal mendidik anak-anaknya dengan baik sehingga masing-masing  mahu membentuk rumahtangga mengikut selera sendiri. Agama dan adat,  semuanya ditolak ke tepi. Itulah yang berlaku kepada kebanyakan pasangan  yang berkahwin hari ini. Sebab itu fail perceraian bertimbun-timbun di  pejabat-pejabat agama.Rumahtangga  itu ibarat bahtera yang berlayar di tengah lautan. Waktu tenang,  mudahlah, tapi bila lautan bergelora, dilanda ribut, memang tak mungkin  bahtera itu dapat diselamatkan kalau tidak dikemudi dengan iman dan  taqwa.
Inilah  yang tidak mampu Rahimah sampaikan kepada anak-anaknya kerana dia  sendiri bukan mendalam sangat pengetahuan agamanya. Cuma dulu, waktu  arwah Pak Adam masih hidup, Rahimah mampu jadi isteri yang taat kerana  memang begitu asuhan orang tuanya. Taatnya pada suami bukan bertitik  tolak dari iman. Rahimah tahu, kalau dia cuba syarahkan tentang  rumahtangga yang baik, pasti anak-anaknya akan berhujah kembali untuk  mempertahankan pendapat dan pendirian mereka. Akhirnya yang terdaya  dilakukan hanyalah berdoa untuk kebahagiaan mereka dunia Akhirat.  
Rumahtangga  itu ibarat bahtera yang belayar di tengah lautan. Waktu tenang,  mudahlah, tapi bila lautan bergelora, dilanda ribut, memang tak mungkin  bahtera itu dapat diselamatkan kalau tidak dikemudi dengan iman dan  taqwa.
 
Pada suatu petang Munirah pulang  dari kampus dengan wajah ceria. Rahimah yang menyambutnya di pintu,  tertanya-tanya kerana selalunya Munirah akan tiba di rumah dengan wajah  letih, tidak bermaya.
"Ada berita baik ke? Semacam aje senyum tu".
"Memang ada berita baik. Kak Sarah call tadi. Dia balik bercuti sebulan. Bolehlah minta tolong dia siapkan hantaran".
"Dia balik seorang ke?" Terbayang wajah anak saudaranya yang telah bertahun-tahun di luar negara.
"Balik satu family. Cuti musim panas. Tapi tak sempat tengok Irah bersanding sebab awal bulan depan, dia balik ke UK semula".
"Lama tak jumpa Sarah. Macam mana rupa anak dia agaknya. Maklumlah, kahwin dengan orang putih".
"Tentulah  cute. Tapi anak Irah nanti lagi cantik sebab Razak muka macam mamak,  Irah pulak macam Cina", jawab Munirah bersahaja sambil berlenggang ke  biliknya.
Rahimah hanya tergelak kecil. Macam-macam angan-angan Munirah.
Hari minggu, Sarah muncul di  rumah Rahimah bersama suami dan anaknya. Penmpilannya cukup mengejutkan  Munirah. Dulu sewaktu meninggalkan tanahair untuk menyambung  pengajiannya, sepupunya itu lebih selesa berseluar jeans dan berkemeja.  Adakalanya dia gemar juga menampilkan imej yang agak seksi. Bagaimanapun  hari ni dia muncul dengan berjubah dan bertudung labuh. Suaminya, Abu  Bakar bin Abdullah pula berseri-seri dengan kopiah di kepala. Satu  pemandangan yang agak aneh buat Munirah. Sangka Munirah, setelah  bertahun-tahun di London. Sarah tentu lebih akan tampil lebih elegant  dengan fesyen terkini dari kota fesyen itu.
"Assalamualaikum. Apa khabar pengantin kita?" sapa Sarah sambil bersalaman dan memeluk Munirah.
"Waalaikumussalam.  Insya-Allah OK", jawab Munirah dengan sedikit rasa kekok. Rahimah terus  mengambil anak Sarah dari dukungan Abu Bakar.
"Comelnya cucu, Tok Tam".
Abu  Bakar yang dari tadi hanya tersenyum, menghulurkan ole-ole dari Kota  London. Raimah menyambut dengan senyuman. Hatinya cukup tertarik dengan  wajah bersih Abu Bakar.
"Dah lama kamu masuk Islam?" tanya Rahimah dengan nada ingin tahu.
"Dah hampir sepuluh tahun", jawab Abu Bakar dengan bahasa Melayu berslanga.
"Eh, boleh cakap Melayu, kamu. Mak Tam tak pernah lagi jumpa Mat Salleh boleh cakap Melayu".
Sarah dan Abu Bakar tertawa.
"Untunglah kamu dapat kahwin dengan Mat Salleh. Dapat duduk luar negeri. Dapat anak comel".
Kata-kata Rahimah sedikit sebanyak mengundang rasa cemburu di hati Munirah.
"Saya beruntung sebab  dapat Mat Sallah yang soleh, Mak Tam. Itu lagi penting. Saya memang  malu dengan dia ni sebab dia yang banyak bimbing saya untuk beramal  dengan Islam. Mak Tam bukan tak kenal Sarah dulu-dulu. Teruk".
"Memang  untung kalau dapat suami soleh. Suami tu, pemimpin rumahtangga. Kalau  suami soleh, selamatlah rumahtangga", luah Rahimah sambil fikirannya  terbayangkan wajah Salasiah. Terlupa dia pada Munirah yang sedari tadi  hanya diam membisu.
Selang  beberapa hari selepas itu, Munirah mengajak Sarah shopping di KL. Dia  inginkan pendapat Sarah tentang pakaian yang hendak ditempah untuk malam  akad nikah. Seingat Munirah, 'taste' Sarah memang bagus.
"Masa  Sarah kahwin kat UK dulu, siapa yang uruskan persiapan kahwin?" tanya  Munirah waktu membelek-belek beberapa pasang baju kurung moden bersulam  di sebuah butik.
"Kami  kahwin ala kadar sahaja. Yang wajib akad nikahnya. Kenduri pun  kawan-kawan yang tolong. Masak sikit-sikit, lepas tu makanlah  sama-sama".
"Tak glamourlah gitu. Kahwin kan sekali seumur hidup", tingkah Munirah dengan dahi 
berkerut.
"Mana Munirah tau kahwin tu sekali seumur hidup? Jodoh,  ajal maut, kan di tangan Tuhan. Entah-entah esok lusa, suami mati. Tak  kan tak kahwin lain. Tak pun macam Kak Salasiah. Dah bercerai. Dengar  kata, dah dapat calon suami baru. Nanti nak kahwin lagi untuk kali  kedua", jawab Sarah dengan lembut sambil matanya turut memerhatikan  sulaman yang cantik pada baju kurung yang dipegang Munirah.
"Tapi,  ini kan kali pertama Irah kahwin. Kenalah buat semeriah mungkin", balas  Munirah. "Ah, perut pun dan berkeroncong ni. Jom kita makan dulu".
Sarah menurut tanpa banyak soal. Sewaktu makan dia cuba untuk memberi panduan kepada Munirah dalam menempuh alam baru.
"Sarah nak tanya pada Irah satu soalan. Apa tujuan Irah kahwin?"
"Aiik!  Soalan cepu emas ke ni? Anyway, bagi Irah, kahwin itu adalah untuk  menghalalkan perhubungan antara seorang lelaki dan wanita. Betul tak?  One more thing, memang fitrah manusia itu ingin dikasihi dan mengasihi.  Sebab itu Allah ciptakan Hawa untuk Nabi Adam, right?" balas Munirah  penuh yakin.
 "Itu saja matlamat perkahwinan?"
"What else?"
"Kalau sekadar nak lepaskan naluri seks, buat apa sampai nak berkenduri kendara besar-besaran. Tak berbaloilah macam tu".
"So what?"
"Sebenarnya  tujuan perkahwinan itu sangat besar. Niat awal kahwin itu sangat  penting untuk menjamin lahirnya satu rumahtangga yang diberkati Tuhan.  Nanti perjalanan rumahtangga tu, akan dibantu. Tuhan akan pelihara  rumahtangga kita sampai rumahtangga tu boleh jadi syurga dunia sebelum  Allah beri Syurga di Akhirat".
"Tak sangka pulak engineer boleh jadi ustazah".
"Bukan begitu. Islam itu untuk semua orang dan ia mesti jadi panduan setiap orang",  balas Sarah tersenyum. "Sebelum Irah melangkah ke alam perkahwinan,  eloklah Sarah bagi peringatan dulu. Janganlah bayangkan kahwin tu pada  yang indah-indah dan romantik-romantik saja. Nanti akan ada ujiannya,  akan ada pahit yang terpaksa ditelan. Kalau tak buat persediaan yang  tepat, memang rumahtangga tak akan boleh bertahan lama. Rumahtangga  boleh jadi neraka tau!"
Munirah  menyedut minuman dari gelasnya. Masuk jugak dalam fikirannya kata-kata  Sarah itu. Cukuplah apa yang dialami oleh kakaknya Salasiah menjadi  bukti kebenaran kata-kata Sarah itu.
"Irah  tau tak, dalam Islam kahwin itu matlamatnya besar dan mulia. Betullah  cakap Irah tadi. Nak halalkan hubungan antara lelaki dan perempuan. Itu  memang antara tujuan perkahwinan, supaya kita tak terjebak dengan zina.  Selain itu, ada lagi yang tidak kurang pentingnya. Kita kena niat kahwin  untuk lahirkan generasi Islam seterusnya. Zuriat kita tu adalah aset  untuk Islam. Lagipun Rasulullah suka umat yang ramai".
"Tapi rasa-rasanya mak bapak kita dulu tak adalah pasang niat macam tu, tapi, tapi kita lahir pun, tetap jadi orang Islam".
"Islam setakat pada nama, apa ertinya? Sedangkan  pada peribadinya langsung tak melambangkan peribadi mukmin. Kita tengok  sekarang macam mana masyarakat kita. Macam-macam masalah sosial. Kronik  betul. Muda lagi dah terlibat dengan dadah, seks bebas, jenayah, sampai  budak 12 tahun pun dah pandai rogol dan bunuh orang. Itu bukan aset  agama namanya. Puncanya dari rumahtangga yang rosaklah tu. Kes-kes  sumbang mahram tu. Tahu tak apa puncanya tu? Something wrong masa akad  nikahnya atau semasa proses perkahwinan tu. Mungkin sebelum kahwin mak  ayahnya dah bergaul bebas, dah biasa buat maksiat. Memang rosaklah  keturunan selepas itu".
Munirah  termenung. Kegembiraan untuk menjadi pengantin baru seperti terganggu.  Sebelum ini fantasinya hanya yang indah-indah, terutama apabila  membayangkan keindahan berbulan madu. Tapi rupa-rupanya banyak lagi  persoalan yang menunggu di hadapan.
"Macam tu ke?"
"Iya.  Kalau kita rancang perkahwinan dengan betul mengikut apa yang Islam  gariskan dan kita jaga supaya setiap step ke arah perkahwinan itu sesuai  sepertimana yang Tuhan kehendaki, insya-Allah, rumahtangga kita akan  berjaya. Bayangkan kita dapat lahirkan anak-anak yang soleh dan solehah.  Bukan sahaja anak-anak tu boleh bantu kita di Akhirat, di dunia lagi  anak-anak tu akan jadi manusia yang berjasa pada agama, bangsa dan  negara. Anak-anak kita boleh menjadi manusia-manusia yang akan  membangunkan empayar Islam".
"Tingginya angan-angan".
"Ini bukan angan-angan tapi cita-cita.  Kan Islam pernah menguasai tiga suku dunia. Islam diperjuangkan oleh  peribadi-peribadi hebat yang lahir hasil didikan Rasulullah. Sekarang  kita simpanlah niat dan cita-cita untuk mengulangi sejarah tu".
"Irah tak layaklah nak buat kerja besar macam tu".
"Memanglah  kita ni tak layak. Tapi kita niatlah nak lahirkan peribadi-peribadi  yang layak melalui perkahwinan kita kerana nak dapat keredhaan Tuhan.  Sampai bila hidup kita nak terus terjajah dengan budaya bukan Islam yang  sekarang terbukti sangat merosakkan dan merugikan kita. Kalau setakat  rugi di dunia, tak apalah. Rugi di Akhirat, siapa nak tolong?"
"Salah ke cara Irah buat persiapan kahwin ni?"
"Tak  salah. Tapi ini cuma persiapan lahir. Tak payahlah sampai membazir.  Yang lebih penting, tambah ilmu agama sebagai persediaan. Baiki diri,  betulkan sembahyang. Kuatkan hubungan dengan Tuhan. Kalau hati sentiasa  berhubung dengan Tuhan, apa-apa problem pun kita boleh atasi. Especially  bab nak taat suami. Bukan mudah tau. Lagilah kalau kita rasa kita lebih  pandai dari dia. Nanti mulalah nak tunjuk 'power'.Dalam setiap hal kita  akan challenge dia. Habislah rumahtangga kalau isteri pun nak jadi  ketua. Dalam rumahtangga ada seni-seninya. Itupun nak kena belajar".
"Sarah ni menakutkan Irahlah. Rasa macam kahwin itu suatu yang complicated sangat".
"Bukan niat nak takutkan Irah.  Tapi nak Irah bersedia untuk menerima realiti perkahwinan tu. Sementara  ada peluang. Nak kahwin pun perlu ada persiapan yang cukup. Bukan  setakat pandai masak, pandai bersolek dan hias rumah. Duit atau cinta  tak akan mencukupi. Bekal yang paling utama, iman".
"Sempat ke nak dapat iman tu? Masa tinggal dua bulan lagi".
Sambil tersenyum, Sarah menepu-nepuk lengan Munirah.
"Insya-Allah.  Tahu tak orang dulu-dulu, sebulan sebelum kahwin, memang kena  berkurung, sebab nak dapat seri muka. Sekarang, Irah buatlah perkara  yang sama. Masa dua bulan ni, manfaatkan untuk tingkatkan ilmu Islam,  untuk dapat iman. Insya-Allah, nanti Razak akan rasa kahwin dengan Irah  ni seolah-olah dia dapat permata berharga. Berbaloilah hantaran lapan  ribu ringgit yang dia terpaksa beri tu".
Munirah  tersenyum. Sedikit sebanyak, cakap-cakap Sarah itu memberinya satu  persepsi baru tentang perkahwinan. Dalam hati dia menyimpan niat untuk  menimba ilmu daripada Sarah sementara Sarah masih ada di tanahair.  Mudah-mudahan rumahtangga yang akan dibinanya itu lebih bermakna lagi.  ~mkdh~