Salam Maal Hijrah buat semua insan-insan yang diredhai Allah..
1432 tahun dahulu sejarah Islam melakar peristiwa penting dalam pembangunan Islam sebagai sebuah agama Tuhan, dan sejarah mencatit pembuktian betapa banyak pengorbanan telah dicurahkan jiwa-jiwa bertauhidkan kasih sayang dan kecintaan pada Allah dan RasulNya.
Dan hari ini, saya cumalah hamba yang kerdil namun cukup-cukup bertuah, dilahirkan daripada rahim ibu yang mempasakkan agama di dalam jiwanya, dibesarkan dengan jerih seorang ayah yang berhijrah merentas 3 negara demi amanah seorang datuk yang inginkan Islam tetap terpelihara di jiwa kami anak keturunannya.
Dan sekali lagi, saya cuma manusia biasa. Agama mungkin lahiriahnya diwarisi, tapi sepastinya iman dan kepercayaan terhadap agama Tuhan ini adalah pilihan peminjam hati bernama manusia itu sendiri. Kerana, mungkin saja ada manusia itu namanya Islam, statusnya Muslim, namun tindak-tanduknya jauh dari landasan Islamnya.
"Kita tak layak menghukum manusia (menjustifikasi manusia) kerana kita juga manusia khilaf"
Seringkali kita dengar, malah ada yang bermazhabkan JANGAN AMBIL TAHU hal orang, atau HIDUP MASING-MASING agar tidak digolong sebagai penyibuk hidup orang. Harus mohon doa agar dijauhkan daripada fahaman sedemikian. Bagi saya, seharusnya ambil tahu, agar kita mampu sekurang-kurangnya 'berdoa untuk hidayah dan petunjuk buat mereka' dan juga 'jadikan ibrah buat kita yang juga hamba'.
Saya juga manusia khilaf
Sedari kecil saya membesar dengan pelbagai sifat mazmumah dalam diri, penuh, sebati..Dengki, kasar, angkuh, pemarah. Lebih-lebih lagi dengan adanya hadiah-hadiah berupa istidraj daripada Allah buat saya, lagi membuatkan sikap saya menjadi-jadi. Saya tak selembut dan sesopan dan seadab kakak-kakak saya, malah jauh sekali mewarisi sikap arwah Mak yang amat dikenali dengan penyayang dan pengasihnya.
Dan, hingga ke saat ini sekalipun, sebahagian besar sifat-sifat tersebut masih bersama saya.
Terus-terangnya, ada beberapa episod dalam hidup saya di suatu masa dahulu, saya pernah MEMPERTIKAIKAN percaturan Allah untuk saya..Di sekitar umur baru mencecah belasan tahun..Saya menangis dalam kekecewaan dan kemarahan..
"Kenapa Allah lahirkan aku dalam keluarga macam ni?"
"Kenapa aku dilahirkan dengan sikap-sikap jahat ini, kenapa aku tak sebaik kakak-kakak aku?"
"Kalau kita jadi anak-anak yang tak baik, nanti anak-anak kita akan tak baik juga kat kita, nanti cucu-cucu kita pun sama, nanti seluruh keturunan kita lah jadi keturunan derhaka??"
Ianya tentang PILIHAN
Takdir Allah itu tetap dan tiada berubahnya. Tetapi perlaksaan takdir Allah itu sentiasa bersandar pada ketinggian ilmu Allah dan pilihan hamba-hambaNya. Malah hijrah Rasulullah jua satu pilihan yang Allah wahyukan untuk Nabi Muhammad dan umat Islam seluruhnya.
Kita tak pernah mampu meminta untuk lahir di dalam keluarga mana, siapa ibu ayah kita, siapa adik-beradik kita, tapi kita diberi pilihan bagaimana berhidup dan berbuat kebaikan kepada mereka.
Kita tak pernah mampu meminta jalan hidup yang sempurna dan bahagia, tiada lelah dan kesahnya, tiada sifat mazmumah dan mekar mahmudahnya, tapi kita boleh memilih cara untuk mengendalikannya.
Kerana kita punya kudrat, hati dan AKAL pemberian Tuhan.
Berubah itu Payah..Tapi boleh..
Teringat coretan hidup dulu kala. Bersekolah agama perempuan mewajibkan pemakaian tudung labuh di kalangan pelajarnya, untuk waktu sekolah sahaja pastinya, sebab itu POLISI sekolah agama mungkin. Dengan itu, saya ini antara sebahagian besar pelajar yang hanya bertudung labuh di sekolah sahaja. Meskipun saya pengawas sekolah, ajk unit displin malah pernah menyandang Ketua Pengawas sekolah, namun itu bukan syarat untuk saya kekal bertudung labuh di luar sekolah.
Di luar, saya selesa mengenakan tudung bawal yang dikongsi bersama kakak dan arwah Mak sekali hingga ke matrikulasi. Bertudung itu wajib dan saya sekadar melaksanakan kewajipan itu.
Kehendak saya dan Izin Tuhan (1)
Dan Matrikulasi UIAM menyaksikan perubahan pada hidup saya. Di kala masuk semester kedua tahun pertama, saya ditempatkan sebetulnya di kelas yang sepatutnya dari sem pertama lagi harus di situ. Hari pertama ke kelas, langkah saya berhenti tersentap di kaki pintu, melihat susuk-susuk badan kawan sekelas daripada belakang membuatkan saya hampir terjerit kecil (dalam hati dah jerit kuat-kuat dah....hoho). Sebelah kanan saya pelajar perempuan yang hampir 90% bertudung putih labuh, di sebelah kiri pula cik abang-cik abang yang kudus betul muka dan pemakaiannya.
Jantung berdegup padat mengepam 'cardiac output' berganda-ganda. Lalu, sekeping SMS dihantar buat Muni,sahabat baik merangkap ex-classmate yang berada di kelas sebelah..
"Muni, tolong aku!!! aku nak masuk kelas mung. kat sini semua orang pakai tudung labuh!!waaa"
Saya pula dengan selamba bertudung bawal putih simple lagi cantik kononnya (tapi tembussss sampai ke depan)..hohoho..Tudung bawal cantik ok!! (tapi ada pilihan lain untuk Cara Memakainya sekarang).
Dan satu semester diharungi dengan penuh
tabah selamba, dan classmate sangatlah baik sebaik pakaian mereka. Hurmm, sekalipun kakak paling rapat saya bertudung labuh, tak pernah dia paksa saya menjejak beliau, sekalipun classmate bertudung labuh sepanjang masa, tak pernah dikutuk dan diperli tudung saya..
Namun ada sesuatu di hati kecil. Ada sesuatu berbisik.
Alhamdulillah ia bertukar menjadi kenyataan..Semester 1 tahun kedua, sedari hari pertama minggu orientasi pelajar baru, saya dengan hati tenang penuh tekad mengenakan tuduh sedikit labuh daripada biasa, (tudung bekal hasil cilok daripada kakanda, Cikwan dan beberapa helai tudung 50" berharga RM10). Dan hati saya tenang amaattt masa itu, dan serasa saya waktu itu adalah waktu paling baik yang Allah izinkan buat saya kerana di minggu orientasi itu, tiada kenalan rapat waktu itu, dan saya lakukannya sendiri bersama izin Tuhan.
Alhamdulillah, ia kekal ke hari ini walaupun terkadang waktu sukan dan beberapa waktu saya mengenakan tudung saiz biasa tapi masih mampu untuk berusaha untuk menjaga apa yang minta dijaga. Ia masih bersama saya saya walaupun terkadang pernah ada masa ada sahabat yang mempetikaikan kelabuhan tudung itu. Tak apa, bukan penilaian manusia yang saya mahu, cuma saya mendamba keredhaan Tuhan pada niat saya.
Rupa-rupanya, saya pernah menzahirkan niat saya dulu pada seorang lagi sahabat saya, Syaza di kala kami pulang daripada latihan taekwando di tangga Mahallah Aisyah. Berkongsi cerita, dan isu tudung labuh juga diketengahkan.
"Jaa. aku rasa kan, aku akan pakai gop tudung besar kekgi. Tapi tak tau lagi bila.hahahaha"
Tak sangka seru dan izin Allah itu dekat saja. Dan Jaja terlebih dahulu melangkah dan kami masing-masing gembira.
Ingin dinyatakan di sini seterang-terangnya, labuh tudung seseorang itu tak pernah menggambarkan sedalam mana imannya, labuhnya tudung tak kan pernah menjadi kayu ukur buat kebaikan hati seseorang.. Hanya Allah, Rasul dan orang-orang Mukmin sahaja yang mampu menilai dan sebaik-baik Penilai adalah Allah kerana Dia mengetahui setiap segala sesuatu niat hamba-hambanya.
Kehendak saya dan Izin Tuhan (2)
Al-maklumnya, saya kini bertugas di bilik bedah hospital di Ampang ini. Sejujurnya, setakat ini, saya gembira dan baik-baik saja di sini. Teringat peristiwa temuduga 2 September lepas,
"ok, hafizah. Do you have any question?"
"urm, sister. may I know, how about the uniform here? I mean, the sleeve and the tudung?"
"oh, alhamdulillah, here we are wearing long sleeve and tudung for those who wear tudung. We are kinda Islamic hospital"
Alhamdulillah..Lega sikit..
Di hari pertama kerja, perasaan bercampur-baur sekali di ketika melihat tag nama saya tertera SRN Noor Hafizah Ahmad (GOT)
GOT?? syukur amatttt tapi....terbayang bagaimanakah pakaiannya pulak..hmm
Sesampai di OT, kami diberi sepersalinan OT..Ya Allah, malu amatttttt..hurmm, tahan..tahan!!Betapa Allah tahu runsingnya hati saya hari-hari. Dan saya tahu saya harus berbuat sesuatu.
Beberapa minggu pertama, saya cuba membaca situasi. Ada sebilangan senior dan doktor memakai inner lengan panjang dan ber'turtle neck'. Dan minggu kedua saya cuba untuk mengenakannya, dan dugaan itu datang dengan kehendak Allah kan. Saya ditegur Chief Nursing Officer sendiri kerana berpakaian sedemikian.
"Awak staf baru. By right, awak tak boleh pakai macam ni."
"Tak boleh ke, puan?"
"Saya dah cuba usulkan pada orang atasan tentang ni, melenting 'beliau'.."
Lalu diam dan akur, hati sedikitpun tak faham apakah ini.
Esoknya, dengan selambe pakai lagi baju inner ber'turtle neck'. Dan, sekali lagi saya ditegur oleh seorang senior.
"Hafizah, sebenarnya awak tak boleh pakai macam ni. Awak dah tahu kan,? semalam Puan * dah tegur awak kan? Awak kan baru lagi, jadi ikutlah apa yang betul. Kalau awak nak jaga aurat awak tu, awak pakai la macam Dr. * (disposable tudung)" Tegur lembut senior ini. Saya akur walaupun dalam hati saya amat tidak bersetuju dengan polisi itu. Tapi atas dasar hormat, saya akur secara fizikalnya. Dan, saya tahu saya KENA, HARUS dan MESTI berbuat sesuatu.
Untuk memakai 'disposable tudung' tu, saya amat terkilan dengan diri saya, kerana tidak ketemu kekuatan untuk memakainya atas alasan Tak Selesa dan Pelik dipandang. Saya tak kuat untuk beberapa minggu sebelum ni dan sering juga mengadu pada kakanda, Nor, dan kata-katanya cukup lembut dan berkesan di hati..
"Sabar, fiey..Banyakkan doa dan bersabar..Allah tahu pe yang mu rasa dan mu nak..Moga mu diberi kekuatan. InsyaALLAH, "
Menjadi Asing agar Tak Terasing
Sempena Maal Hijrah kali ini, saya bersyukur pada Allah atas secebis kekuatan yang DIA kurniakan buat saya, saya memilih untuk memakai 'disposable tudung'. Biar saja jika ada yang nak kata apa, biar saja saya nampak dan rasa pelik..Mesti boleh diatasi..Tak apa menjadi asing di mata manusia agar tak terasing di mata Tuhan kelak.
Dan, alhamdulillah, walaupun di hari ini ada saja yang nampak saya pelik, tak kurang juga ada yang memberi kata-kata semangat..
"tak pe, fiey..ko pakai je pe ko nak pakai...jangan risau lah!" dengan nada selamba tapi cukup menyenangkan sedikit hati ni..
Bukan gelaran warak atau 'title' alim yang saya cari, cuma ingin mengutip sedikit bekalan lagi dengan sisa masa yang entah bila tamat waktunya, demi mencuci sedikit demi sedikit dosa-dosa yang saban hari bertambah timbunannya..
fiey ahmad
aku tetap manusia biasa